fb fb fb fb fb

Kepimpinan MPN PKR Sabah: Tiada nama spesifik dibincangkan

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghadiri perjumpaan khas bersama Majlis Pimpinan Negeri Sabah /BERNAMA

KOTA KINABALU, 20 April- Tiada nama spesifik yang dibincangkan berkaitan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah pada pertemuan khas bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu mungkin akan dibawa ke peringkat kepimpinan pusat pada esok.

Proses pemilihan Pengerusi MPN PKR negeri adalah sama seperti proses di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Jadi Sabah juga tidak terkecuali dan perkara itu perlu dibincangkan di peringkat pusat.

"Mengikut proses, Presiden parti (Anwar) perlu mengadakan sesi konsultasi bersama Ketua Cabang dan proses itu telah berjalan. Selepas ini, Presiden mengikut kelaziman akan bawa hasil perbincangan dan keputusan ke mesyuarat pimpinan pusat, dan mesyuarat berikutnya diadakan esok.

"Terpulang kepada Presiden. Kita ada mesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan. Bergantung kalau Presiden merasakan perlu sedikit masa untuk berbincang lanjut mungkin mengenai Sabah atau MPN negeri lain yang ingin disekalikan. Mungkin kita akan dapat keputusan esok atau mesyurat MPN akan datang," katanya di sini.

Terdahulu, Fahmi menghadiri perjumpaan khas Anwar bersama MPN PKR Sabah di Kota Kinabalu, yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dan Pengerusi MPN PKR Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam.

26 Ketua Cabang PKR Sabah turut hadir ke majlis itu, antaranya Ketua Cabang PKR Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI