fb fb fb fb fb

Keperluan kewangan isu tanah Felda Terengganu telah dilunaskan

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Disember - Semua keperluan kewangan berkaitan isu pertikaian tanah Felda di Terengganu telah dilunaskan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun, terdapat beberapa tindakan susulan yang didakwa belum dilaksanakan kerajaan negeri sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai status urusan tanah berkenaan.

Sehubungan itu, satu sesi perbincangan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Kerajaan Negeri Terengganu telah dijadualkan bagi memastikan segala komitmen yang telah dipenuhi Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan segera oleh pihak negeri.

"Petang ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan semua komitmen yang telah dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan dapat disusuli segera oleh pihak negeri. Ini sangat penting.

"Perbincangan berkenaan dijangka memberi penyelesaian lebih jelas terhadap isu-isu berkaitan tanah Felda yang masih tertangguh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis itu turut dihadiri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI