Keperluan dua mata pelajaran SPM iaitu BM, Sejarah diperhalusi

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Januari – Pelaksanaan keperluan dua mata pelajaran teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah sedang diperhalusi, susulan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk sekolah antarabangsa, maahad tahfiz serta pertubuhan pendidikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan keperluan dua mata pelajaran teras SPM, Bahasa Melayu dan Sejarah, sedang diperhalusi melalui sesi libat urus pelbagai pihak.
  • Pertemuan dengan wakil sekolah antarabangsa, maahad tahfiz dan pihak berkepentingan diterima baik dan menunjukkan penyelarasan dasar pendidikan.
  • Langkah susulan termasuk pertemuan KPT-MQA untuk laluan pengajian tinggi dan pengambilan 20,000 guru bagi kesiapsiagaan sekolah.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut menerima maklum balas terkini daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pelaksanaan beberapa perkara yang diumumkan Perdana Menteri berkaitan dasar pendidikan.

“Menteri Pendidikan telah memaklumkan bahawa pada minggu ini telah diadakan pertemuan bersama wakil-wakil dari pelbagai pihak, wakil daripada sekolah-sekolah antarabangsa, dari sekolah-sekolah mahad tahfiz dan juga daripada pihak Dong Zhong yang mengangkat isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Jadi, Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa pertemuan tersebut telah berjalan dengan sangat baik dan ada penyelarasan dari segi apa yang kerajaan berhasrat untuk laksana diterima baik oleh semua pihak yang hadir”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan di Putrajaya selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Tinggi juga akan mengadakan pertemuan susulan bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) minggu hadapan bagi meneliti laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.

Dalam perkembangan berkaitan jelasnya lagi, Ketua Pengarah Pendidikan memaklumkan proses pengambilan 20,000 guru akan dimulakan dalam masa terdekat bagi memastikan kesiapsiagaan sekolah dan tenaga pengajar berada pada tahap terbaik menjelang sesi persekolahan akan datang.