fb fb fb fb fb

Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025: Malaysia cadang adakan Sidang Kemuncak bersama China, GCC

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad/BERNAMA

BEIJING, 30 Mei- Malaysia mencadangkan supaya satu Sidang Kemuncak ASEAN bersama China dan Menteri Luar Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) diadakan pada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 nanti.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata perkara itu adalah antara yang disentuh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China Li Qiang, di sini semalam.

Beliau berkata cadangan itu mendapat maklum balas positif daripada Li Qiang.

“Malaysia boleh menjadi jambatan perhubungan baik bagi China dengan lain-lain negara, terutama negara-negara Teluk. Itu sebabnya ada buat cadangan pada Kepengerusian ASEAN-Malaysia, kita nanti adakan mesyuarat antara ASEAN, China dan Sidang Kemuncak GCC,” katanya pada sidang media, di sini hari ini sempena lawatan rasmi Ahmad Zahid ke China bermula 22 Mei hingga Sabtu ini.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertama ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Norman berkata dalam kunjungan hormat semalam Timbalan Perdana Menteri turut membangkitkan harapan Kerajaan Malaysia agar Presiden China Xi Jinping mengadakan lawatan ke Malaysia memandangkan lawatan terakhir pemimpin utama republik berkenaan adalah 10 tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata Ahmad Zahid turut mengesyorkan kepada China untuk menambah tempoh pengecualian visa pelancong Malaysia daripada 15 kepada 30 hari, dan cadangan itu katanya mendapat maklum balas positif dari pihak China.

Sehubungan itu beliau berkata perbincangan mengenainya dijangka diperincikan lagi semasa sesi lawatan rasmi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke republik berkenaan yang dijadualkan pada 4 Jun ini.

“Bagi cadangan pelanjutan visa pelancong Malaysia yang dibangkitkan Ahmad Zahid, ia diterima baik oleh kerajaan China dan keputusannya dijangka diumumkan ketika kunjungan rasmi pemimpin tertinggi republik ini ke Malaysia, bulan depan,” katanya.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN