fb fb fb fb fb

Kenderaan perdagangan perlu diselenggara secara berkala, elak pelepasan asap hitam berlebihan

Pelancaran Op Bersepadu Kenderaan Bermotor dan Sempena Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Seremban

SEREMBAN, 4 Mac- Pemilik kenderaan perdagangan diingatkan supaya menyelenggara kenderaan milik mereka secara berkala.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S.Veerapan berkata, ia bagi memastikan pelepasan asap hitam daripada paip ekzos kenderaan perdagangan tidak melebihi ketumpatan yang dibenarkan iaitu sebanyak 50 peratus.

"Pelepasan asap ni akan mencemari atmosfera di mana ia menghasilkan karbon berlebihan, ketika ini banyak isu perubahan iklim jadi, kita sebagai pemilik kenderaan perdagangan perlu ada rasa tanggungjawab untuk pastikan kenderaan yang kita guna mematuhi segala undang-undang ditetapkan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Op Bersepadu Kenderaan Bermotor dan Sempena Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Seremban.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan semasa operasi itu dijalankan bagi tempoh sepanjang tahun ini.

"Notis arahan ini bermaksud mengarah pemilik kenderaan untuk datang buat ujian semula bagi memastikan dia mematuhi standard had pelepasan pencemaran daripada ekzos kenderaanya,"katanya.

Sementara itu, bagi tahun 2023, sebanyak 114 kompaun dan 115 Notis Arahan telah dikeluarkan JAS Negeri Sembilan menerusi 38 Op Bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri.

Arahan juga telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan perdagangan kerana kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had yang ditetapkan iaitu 50 HSU mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE