Kenderaan dihanyutkan kepala air, wanita Indonesia ditemukan maut

GUA MUSANG, 23 November – Seorang wanita warganegara Indonesia ditemukan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya dihanyutkan kepala air di Jambatan No. 2, Kampung Pulai, Gua Musang Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan kepala air di Jambatan No. 2, Kampung Pulai, Gua Musang.
  • Seorang wanita warganegara Indonesia hilang dibawa arus; dua penumpang lain berjaya menyelamatkan diri.
  • Mayat wanita ditemui di tebing sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi; disahkan meninggal dunia di hospital.
  • Bedah siasat: punca kematian "asphyxia due to aspiration of mud and drowning"; polis nasihatkan elak spekulasi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam Khamis lalu, mangsa bersama seorang lelaki berbangsa Cina dan seorang wanita warganegara Thailand dalam perjalanan ke Ladang KLC.

Ketika melalui kawasan berkenaan, kepala air secara tiba-tiba melanda dan menghanyutkan kenderaan mereka. Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, namun wanita Indonesia tersebut hilang dibawa arus.

Pada kira-kira pukul 4.15 pagi Jumaat, orang awam menemukan mangsa di tebing sungai, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia.

Mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum disahkan meninggal dunia. 

Hasil bedah siasat oleh pakar forensik mendapati punca kematian adalah “asphyxia due to aspiration of mud and drowning”.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi mangsa dan keluarga.