
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Langkah kerajaan meluluskan kenaikan gaji hakim selepas lebih sedekad dilihat sebagai usaha penting bagi memperkukuh kebebasan, integriti serta profesionalisme institusi kehakiman di negara ini.
- Kenaikan gaji hakim membantu menjaga kebajikan dan menjamin keputusan kehakiman dibuat tanpa tekanan luar.
- Kenaikan 30 peratus dianggap perlu selari dengan peranan besar institusi kehakiman.
- Langkah ini memperkukuh kebebasan, integriti dan profesionalisme sistem kehakiman negara.
- Pelarasan gaji meningkatkan keyakinan rakyat terhadap wibawa dan kredibiliti institusi kehakiman.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pemberian gaji yang sewajarnya kepada para hakim bukan sahaja menjaga kebajikan mereka, malah memastikan keputusan kehakiman dapat dibuat secara bebas tanpa sebarang tekanan atau pengaruh luar.
Menurut beliau, kenaikan gaji sebanyak 30 peratus yang akan berkuat kuasa mulai bulan ini merupakan satu keperluan memandangkan peranan dan tanggungjawab besar yang dipikul oleh institusi kehakiman dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Apabila para hakim diberikan ganjaran yang sewajarnya, ia membantu memastikan kebebasan kehakiman dapat dipelihara.
“Kenaikan ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada pengukuhan sistem kehakiman negara,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di sini.
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah tersebut sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara, selain memastikan institusi kehakiman kekal berwibawa dan berintegriti.
Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Ahmad Farid merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan kerajaan atas pelaksanaan pelarasan gaji berkenaan, yang merupakan semakan pertama selepas lebih 10 tahun yang disifatkan tepat pada masanya dan membawa manfaat jangka panjang kepada negara.