KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kerajaan menegaskan pemberian elaun dan pelaksanaan kenaikan gaji berstruktur dalam kalangan penjawat awam dibuat berasaskan prinsip keadilan, tanggungjawab serta kemampuan fiskal negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, elaun dalam perkhidmatan awam diberikan mengikut beberapa kriteria termasuk jenis tugas, gred jawatan, lokasi berisiko serta keperluan sara hidup.
“Elaun dalam perkhidmatan awam diberikan mengikut prinsip yang berikut. Pertamanya, tidak sejagat iaitu hanya kepada kumpulan atau perkhidmatan tertentu berdasarkan tugas unit yang dilaksanakan. Kedua, tidak kekal itu diberi dalam keadaan tertentu sahaja mengikut tugas atau gred jawatan.
"Ketiga, tidak biasa iaitu bersifat sementara dan boleh dihentikan bila-bila masa setelah tempoh kelulusan tamat dan yang keempat, kesaksamaan. Iaitu pemberian elaun mesti adil, tidak menyeluruh dan hanya kepada kumpulan atau jawatan yang tertentu", katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullan di Dewan Rakyat.
Jelasnya, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) memberi fokus kepada peningkatan pendapatan boleh guna, kesejahteraan penjawat awam serta produktiviti sektor perkhidmatan awam.
“Sistem saraan perkhidmatan awam atau SSPA adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan menggantikan Sistem Saraan Malaysia, SSM untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dengan menumpukan kepada pendapatan boleh guna, peningkatan produktiviti dan juga kesejahteraan penjawat awam dan kemampuan fiskal negara.
"Untuk maklumat ahli Yang Berhormat, ketika peringkat awal kajian SSPA, pelbagai faktor telah diambil kira termasuklah peningkatan kos sara hidup termasuk juga kadar kos sara hidup penjawat awam yang berkhidmat di Pulau Langkawi sendiri.
"Jadi dalam Hal ini, penjawat awam yang memilih SSPA menerima kenaikan gaji Sebanyak 15 peratus iaitu 8 peratus telah diberikan pada 1 Disember 2024 yang lalu dan seterusnya 7 peratus mulai 1 Januari 2026", ujarnya.
Beliau menegaskan langkah itu termasuk pemberian bayaran insentif awal RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM1,000 kepada pegawai JUSA, sekali gus membantu meningkatkan kuasa beli serta mengurangkan beban kos sara hidup.