fb fb fb fb fb

Kenaikan dua mata peratusan cukai, dijangka beri tambahan hasil RM3 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan daripada 6% ke 8% yang berkuat kuasa pada 1 Mac ini menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan (business-to-business; B2B).

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan berkata, perkara itu bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

"Bagi menjayakan transformasi ekonomi, Kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.

"Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, Kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan," katanya.

Menurut Amir Hamzah kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti digariskan bawah kerangka Ekonomi MADANI.

"Kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI)," katanya.

Sistem percukaian ditambah baik itu dijangka meraih tambahan hasil dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

Hasil tambahan itu dapat dimanfaatkan kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya .

Dalam pada itu liputan Cukai Perkhidmatan turut akan diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri sama.

Cukai Perkhidmatan turut dikenakan kepada pusat hiburan berunsur hiburan merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

Pengenaan cukai tersebut turut diperluas kepada perkhidmatan-perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal, kapal terbang, komoditi dan hartanah.

"Peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar sama.

"Ia termasuk perkhidmatan logistik yang dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus seperti penghantaran makanan dan minuman," kata kenyataan itu.

Bagi perkhidmatan elektrik, Cukai Perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj.

Perkara itu disebabkan hampir 85 peratus pengguna elektrik berada bawah ambang itu, dan tidak terkesan dengan cukai berkenaan. Ia juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Bagaimanapun kerajaan menjangkakan perubahan itu tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi kerana kenaikan dua mata peratusan itu hanya melibatkan beberapa perkhidmatan bercukai sahaja.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI