SEPANG, 11 Januari- Kempen keselamatan dalam talian di sekolah menengah dan rendah akan dilaksanakan di seluruh negara dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia untuk meningkatkan pemahaman serta kesedaran mengenai keselamatan dalam talian kepada guru, ibu bapa dan pelajar.
"Bagi pelajar-pelajar sekolah rendah kita mahu mereka tidak berikan sebarang fokus kepada media sosial, maksudnya tiada media sosial di peringkat sekolah rendah.
"Manakala di peringkat sekolah menengah akan diberi fokus bagaimana untuk manfaatkan internet, media sosial dengan selamat untuk mengelakkan jadi mangsa penipuan dan jenayah-jenayah lain secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing, di sini.
Kempen itu juga bertindak sebagai mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat melindungi pelajar daripada risiko penipuan dalam talian.
Dalam perkembangan lain mengulas mengenai arahan baru dikeluarkan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang mengehadkan akses kepada teknologi cip kecerdasan buatan (AI) negara itu dengan membahagikan negara-negara kepada tiga kategori.
Ia susulan Malaysia dimasukkan dalam kategori kedua dalam pembahagian tersebut.
Fahmi memaklumkan, kabinet dijangka akan membincangkan berkenaan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data dunia pada minggu depan.
"Saya meneliti laporan itu ia banyak merujuk kepada syarikat-syarikat seperti Nvidia khusus penggunaan semikonduktor bagi tujuan sektor atau ekonomi, yang melibatkan AI.
"Ketika ini di Malaysiakita belum mempunyai kilang menghasilkan cip Nvidia tetapi sebelum ini ada diumumkan pihak YTL sedang mengusahakannya. Jadi kita ambil maklum perkara ini.
"Sudah pasti pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Luar akan meneliti lebih lanjut untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada pihak Amerika Syarikat," katanya lagi.
Beliau yakin perkara itu dapat diatasi dengan baik memandangkan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat.