Kempen Internet Selamat diperluas ke bazar Ramadan seluruh negara

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bercakap kepada media selepas menyertai Kempen Internet Selamat 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Bazar Ramadan Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mac -Kementerian Komunikasi memperluas pelaksanaan “Kempen Internet Selamat” edisi Ramadan ke bazar Ramadan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan internet secara berhemah dan selamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen mendidik orang ramai tentang risiko dunia siber dan menekankan peranan ibu bapa dalam keselamatan penggunaan internet.
  • Isu utama dikenalpasti termasuk buli siber, scam dan pedofilia, terutama golongan dengan literasi digital rendah.
  • Pelaksanaan diperluas kepada komuniti, persatuan penduduk, Jawatankuasa Rukun Tetangga serta institusi masjid dan surau.
  • Kerajaan akan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial baharu sebagai langkah perlindungan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan bagi mendekati masyarakat secara lebih langsung, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan.

Jelasnya, kempen tersebut bertujuan mendidik orang ramai mengenai risiko di dunia siber dan inisiatif itu turut menekankan peranan ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika menggunakan internet.

“Hasratnya adalah untuk memberi kesedaran kepada pengunjung di bazar-bazar Ramadan tentang keperluan untuk mereka sentiasa amalkan budaya yang akan memastikan mereka dan keluarga mereka selamat bila menggunakan internet.

“Kita dapati pada hari ini, dalam pelbagai platform media sosial, ramai yang menjadi mangsa buli siber, scam, pedofilia, terutama mereka yang tidak mempunyai tahap literasi digital yang tinggi,” katanya kepada pemberita,
selepas melawat reruai Kempen Internet Selamat di Pantai Dalam.

Tambahnya, berbeza dengan tahun lalu yang memberi tumpuan kepada sekolah, kempen tahun ini diperluas kepada komuniti termasuk persatuan penduduk, Jawatankuasa Rukun Tetangga serta institusi masjid dan surau.

Selain itu, program kesedaran berkenaan turut dilaksanakan melalui 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memastikan mesej keselamatan internet sampai ke peringkat akar umbi.

Jelasnya lagi, kerajaan akan melaksanakan had usia minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial baharu menjelang pertengahan tahun ini sebagai langkah perlindungan kepada golongan kanak-kanak.