KUALA LUMPUR, 28 Mac - Kementerian Wilayah Persekutuan mewujudkan Unit Kemiskinan di peringkat kementerian dan agensinya bagi menangani isu miskin bandar secara berterusan.
Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, unit itu ditubuhkan di bawah Perbadanan Labuan serta bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menubuhkan pasukan petugas.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Unit Kemiskinan adalalah unit baharu yang diwujudkan untuk mencapai matlamat membasmi kemiskinan.
(Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias)
Menurutnya, tiga program strategik turut dirangka bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
"Bagi masyarakat penduduk di Labuan yang terkesan itu, saya telah jelaskan tadi yakni mewujudkan program tertentu yang penting, yang istimewanya usahawan dari rumah.
"Usahawan dari rumah adalah projek pemasaran dalam talian, Labuan Base dot com. Ini yang kita wujudkan untuk membantu kerana mereka ini dalam kalangan orang yang berpendidikan tinggi", katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Bashir Alias di Dewan Negara.