Kementerian rancang sesi libat urus mahasiswa bagi jayakan RPTM 2026–2035

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditemui media di Putrajaya/RTM

PUTRAJAYA, 21 Januari -Sesi libat urus khas bersama kepimpinan mahasiswa seluruh negara akan diadakan pada awal Februari depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Adakan sesi libat urus khas dengan pimpinan mahasiswa seluruh negara bagi menyokong pelaksanaan RPTM 2026-2035.
  • Libatkan universiti, politeknik, kolej komuniti dan universiti swasta untuk pendapat dan cadangan pelaksanaan.
  • Bincangkan isu kos sara hidup, kebajikan mahasiswa, dasar universiti, pemansuhan AUKU dan Deklarasi Mahasiswa 2025.

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia sebagai langkah awal bagi menjayakan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Katanya perkara itu dipersetujui susulan pertemuan bersama Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) selepas pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

RPN diterajui secara bersama oleh KPT melalui RPTM, manakala Kementerian Pendidikan (KPM) menerajui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

“Antara cabaran utama selepas peluncuran rasmi itu ialah bagaimana kita hendak melaksanakannya yang melibatkan, antara komponen penting ialah para mahasiswa kita dalam konteks universiti, politeknik dan kolej komuniti,” katanya kepada media, di sini.

Beliau turut menyambut baik pendekatan proaktif MPPK yang tampil mengadakan pertemuan awal bagi menyampaikan pandangan serta mencadangkan langkah susulan berkaitan pelaksanaan pelan berkenaan.

“Jadi, langkah awal yang pertama kita telah bersetuju untuk mengadakan satu program khas bersama seluruh pimpinan mahasiswa di universiti, setiap universiti ada pimpinan utamanya, mungkin 20 orang. Saya akan minta melibatkan juga politeknik, termasuk sebahagian kolej, universiti swasta,” katanya.

Sesi berkenaan akan memberi ruang interaksi secara terbuka bagi mendengar pandangan mahasiswa ke arah pelaksanaan RPTM 2026-2035 yang lebih berkesan.

Antara isu yang dijangka dibincangkan dalam sesi libat urus berkenaan ialah kos sara hidup, kebajikan mahasiswa, dasar universiti, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Deklarasi Mahasiswa 2025.