KUALA LUMPUR, 20 Mac - Kementerian Pertahanan menerima sumbangan bernilai RM1.96 juta daripada 74 organisasi dan ahli korporat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai penghargaan terhadap pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah sumbangan yang diterima merangkumi bentuk kewangan dan barangan, dengan 65 penyumbang memberikan bantuan dalam bentuk kewangan berjumlah RM1,777,500, manakala selebihnya dalam bentuk barangan bernilai RM178,920.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 74 sumbangan telah diterima dalam pelbagai bentuk dengan nilai keseluruhan RM1.96 juta. Kita percaya sumbangan tulus ikhlas ini memberi erti yang besar serta membuktikan bahawa pengorbanan warga ATM tidak pernah dilupakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2025/1446H di ibu negara, hari ini.
Menurut beliau, hasil sumbangan tersebut, pihaknya telah menyediakan 15,000 beg Hari Raya untuk diagihkan kepada anggota ATM yang bertugas di dalam dan luar negara sepanjang sambutan Aidilfitri.