KUALA LUMPUR, 9 Mei- Kementerian Pendidikan Tinggi bakal mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan, susulan tindakan Kerajaan Australia menaikkan had simpanan pelajar antarabangsa untuk mendapatkan Visa Australia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau akan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Australia bagi mengetahui dasar semasa negara itu, sama ada, ia melibatkan semua negara atau hanya negara tertentu.
Beliau berkata penelitian polisi sedia ada perlu dilakukan sebelum mengambil langkah seterusnya.
"Langkah pertama yang akan kita lakukan ialah untuk memastikan supaya perbincangan dengan pihak berkuasa Australia itu perlu dilakukan.
"Manakala dalam konteks untuk visa pula, ia bukan hanya melibatkan satu kementerian, bukan hanya melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi.
"Ia juga melibatkan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Jadi kalau kita hendak mengadu berkaitan ini, kita perlu bersama-sama dengan KDN untuk mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Australia berkaitan perkara ini", katanya selepas Majlis Pelancaran Logo Baharu UKM Specialist Centre di ibu negara.
Semalam, Kerajaan Australia menetapkan bermula 10 Mei 2024, pelajar antarabangsa harus mempamerkan bukti memiliki wang simpanan sekurang-kurangnya A$29,710 (RM97,787) untuk mendapatkan visa pelajar.
Langkah tersebut dilaksanakan berikutan beberapa tindakan sejak beberapa bulan lalu untuk mengetatkan peraturan visa pelajar.