fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi terus bantu kementerian lain sebar maklumat lebih efektif

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 30 Januari - Kementerian Komunikasi akan terus membantu kementerian lain dalam menyampaikan mesej kritikal yang lebih efektif, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian komitmen penyelarasan antara agensi bagi memastikan keberhasilan penyampaian maklumat kepada golongan sasar, termasuk menyebar luas maklumat mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang ketika ini sedang giat dijalankan.

"Kita akan teliti beberapa perkara untuk bantu kementerian lain hendak sebar luas maklumat dan agenda dasar dan program yang dilaskanakan, kalau ada aspek yang timbulkan, keraguan, kerisauan fitnah berita palsu, kita akan bantu samada menangkis fitnah atau betulkan persepsi, komunikasi dalaman penting dan semakin baik terutama selepas diselaras fungsi dan tugas kementerian ini," kata Fahmi kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini.

Satu pemukiman juga akan diadakan pada 1 hingga 3 Februari depan untuk merangka strategi dan taktik kementerian sepanjang 2024.

Sementara itu, model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian akan diputuskan dalam masa terdekat.

Fahmi berkata, mesyuarat khas berhubung perkara itu telah dibuat sebelum memorandum Jemaah Menteri disediakan.

"Langkah seterusnya hendak sediakan memorandum jemaah menteri hendak bincang dan putuskan samada masanya sudah tiba untuk benarkan kewujudan rangkaian kedua dan ini samada bolehkan pelaksanan rangkaian 5G menjadi lebih mampan dan memberi lebih banyak peluang syarikat telco sediakan perkhidmatan baik untuk rakyat," katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Dalam ucapannya Fahmi memberitahu, pengguna 5G melonjak lebih 3 juta dalam setahun berbanding 404,323 pada 2022.

Dalam pada itu, Fahmi berkata titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai aspek perpaduan perlu diutamakan.

Beliau menyifatkan titah baginda pada Majlis Jamuan Negara, Sabtu lepas amat memberikan kesan terutama apabila baginda menjadi payung negara ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan pergolakan politik.

Beliau turut meminta Jabatan Penerangan untuk menerbit dan menyebarluas grafik berkaitan titah baginda kepada masyarakat umum.

"Sangat terkesan dengan titah Tuanku sewaktu Majlis Jamuan Negara, bukan hanya rasa sebak terakhir sewaktu Tuanku memohon maaf kepda rakyat dan bercakap soal perpaduan, kita lihat baginda terkesan tetapi juga pesanan Tuanku agar kita sentiasa jaga perpaduan ini harus menjadi perkara yang kita utamakan," katanya.

TETITIA YUSOFF