fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi akan bertemu TikTok, bincang akaun kanak-kanak

Foto BERNAMA

KUANTAN, 2 Februari- Kementerian Komunikasi akan mempertimbangkan soal pemilikan akaun media sosial TikTok oleh kanak-kanak.

Justeru, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan platform media sosial itu.

Jelas Fahmi, berdasarkan garis panduan komuniti bagi laman itu, kanak-kanak bawah usia 13 tahun adalah tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok.

"Jadi ini satu keadaan yang amat menggusarkan, merisaukan dan kita mungkin perlu panggil pihak TikTok untuk mendapat penjelasan dan ada penyelarasan daripada segi penguatkuasaan di sekolah-sekolah kerana pelanggaran ini kalau di negara lain syarikat TikTok dah kena saman. Jadi kita kena teliti dan saya akan bincang dengan pihak TikTok dan juga dengan peguam negara sekiranya kita perlu ambil apa-apa tindakan perundangan," kata Fahmi ketika mengadakan kunjung hormat ke atas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang di sini.

Jelasnya, kebimbangan muncul berikutan beberapa trend yang tidak sesuai dijadikan ikutan kanak-kanak, dilihat tular di media sosial.

Sebelum ini, beliau juga pernah menyatakan berkaitan pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia yang masih tidak memuaskan dan perlu diperbetulkan.

"Diorang makin improve (meningkat) tetapi bersama dengan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) kita sedang teliti beberapa tindakan yang akan kita ambil dalam masa terdekat, belum lagi sesuai masanya untuk saya sebut apa tindakan itu, tapi kita dah ada beberapa pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara dan sedang meneliti beberapa aspek kita akan bawa satu memorandum Jemaah Menteri untuk diputuskan sebelum diambil tindakan," katanya.

Katanya, tindakan itu diambil berikutan berlaku penyalahgunaan media sosial, antaranya melibatkan isu ekstremisme, fahaman agama melampau, budaya takfiri dan isu yang boleh menggugat keharmonian negara.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan menjalin kerjasama erat dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti sekolah-sekolah mengalami masalah capaian internet yang perlu diberi keutamaan, tahun ini.

Fahmi berkata pendekatan itu dilaksana susulan beberapa inisiatif yang akan diperkenal oleh Kementerian Pendidikan.

"Kita akan kerjasama dengan kerajaan negeri bersama dengan Exco dan Ahli Parlimen untuk kita kenal pasti sejumlah sekolah yang perlu diberi keutamaan bagi tahun ini terutama menjelang beberapa keputusan yang bakal dibuat oleh Kementerian Pendidikan tentang isu internet di sekolah. Jadi kita akan selaraskan di antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan dan juga kerajaan negeri, Insyaa Allah kita akan uruskan dengan baik daripada segi keutamaan, kemungkinan besar saya nampak wajar sekolah-sekolah untuk anak-anak orang asli sebagai contoh," kata Fahmi.

Beliau berkata, fokus utamanya adalah kepada guru-guru, untuk memastikan mereka dapat memanfaatkan internet sepenuhnya bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jelas Fahmi, usaha itu juga telah dimaklumkan kepada Wan Rosdy dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, ketika perjumpaan hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

 

 

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM