KUALA LUMPUR, 29 Julai- Kementerian Digital bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Data Malaysia bagi membangunkan kerangka dan polisi yang mencukupi.
Menteri DIgital Gobind Singh Deo berkata, penubuhan itu bagi melindungi data orang ramai serta menggalakkan penggunaan pusat data di Malaysia.
Untuk tujuan itu, pihaknya merancang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac atau pertengahan tahun depan.
"Kita lihat pelaburan daripada Google, daripada Microsoft, Bytedance dan sebagainya. Jumlah pelaburan cukup besar.
"...untuk kita melindungi data dan juga menggariskan polisi-polisi yang akan membolehkan atau menggalakkan penggunaan data. Pada masa sama memastikan keselamatan sentiasa diberi keutamaan," katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Cybersecurity Malaysia di ibu negara.
Kerjasama itu melibatkan pembangunan panduan keselamatan 5G, yang akan digunakan sebagai keperluan asas untuk industri, dan berfungsi sebagai prinsip panduan untuk asas keselamatan 5G masa depan.
Dalam pada itu kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan harga 5G bawah rangkaian kedua kekal pada kadar sedia ada.
Gobind berkata, harga yang ditawarkan merupakan antara aspek yang diambil kira semasa proses penilaian pelaksanaan rangkaian itu.
"...dan saya rasa MCMC memang prihatin dengan persoalan ini. Saya rasa langkah-langkah telah diambil untuk memastikan bahawa rangkaian diwujudkan yang kedua ini harga akan ditetapkan pada harga sedia ada. Itu adalah satu perkara dalam perhatian MCMC," katanya.