KUALA LANGAT, 6 Mac - Polis merampas enam jenis ubat dari kediaman Abd Ridzuan Abdul Mutalib, atau lebih dikenali sebagai Ridz Okumura, susulan kematian isterinya, Akiko Okumura, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Pihak polis masih menyiasat kes ini dalam kategori SDR dan meneliti semua aspek, termasuk kemungkinan kemurungan atau masalah perubatan.
"Beberapa jenis ubat yang dirampas dari kediaman mangsa dipercayai dibawa dari Jepun. Kami akan mendapatkan bantuan kedutaan bagi mengenal pasti jenis ubat yang digunakan dan sama ada ia berkaitan dengan insiden ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan berkaitan penemuan sisa amunisi semasa Ops Hazard, di sini.
Menurutnya, kes tersebut akan dipantau dengan teliti dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat unsur jenayah.
Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada enam individu, termasuk kakitangan hospital dan saksi awam, selain suami dan anak mangsa.
Jenazah Akiko Okumura telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, pada Sabtu lalu.