
KUALA LUMPUR, 27 Januari– Kerajaan memutuskan pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada umur enam tahun selaras dengan amalan majoriti negara di dunia, bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal seiring dengan arus global.
- Pelaksanaan kemasukan Tahun Satu pada umur enam tahun selaras dengan amalan majoriti negara bagi menyelaraskan sistem pendidikan dengan arus global.
- Pelaksanaan dibuat secara berperingkat dan terancang, dengan pilihan prasekolah untuk kanak-kanak umur lima tahun mulai 6 April 2026.
- Kerajaan menumpu penambahan kemudahan dan pengambilan kira-kira 18,000 guru baharu, disokong cadangan peruntukan tambahan RM800 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berdasarkan data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), sebanyak 137 negara, mewakili lebih 71 peratus negara di dunia, telah melaksanakan kemasukan ke Tahun Satu pada umur enam tahun.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan negara serta kebimbangan ibu bapa, dengan pelaksanaan dilaksanakan secara berperingkat dan terancang.
“Berdasarkan data UNESCO, sebanyak 137 negara telah melaksanakan kemasukan ke Tahun Satu pada umur enam tahun, iaitu mewakili lebih 71 peratus negara di dunia. Justeru, Malaysia tidak seharusnya ketinggalan.”
“Kebimbangan utama kerajaan ialah tahap kesiapsiagaan pelaksanaan, sebab itu pelaksanaannya dibuat secara berperingkat. Selain itu, bagi kanak-kanak berumur lima tahun, ibu bapa boleh mendaftarkan mereka ke prasekolah secara pilihan bermula 6 April 2026,” kata Datuk Seri Anwar di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Parlimen.
Sementara itu, ibu bapa kepada kanak-kanak berumur lima tahun diberi pilihan untuk mendaftarkan anak mereka ke prasekolah secara pilihan bermula 6 April 2026, bagi memberi ruang persediaan awal sebelum memasuki alam persekolahan formal.
Bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar, kerajaan memberi tumpuan kepada penambahan dan peluasan kemudahan pendidikan termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta institusi latihan pendidikan guru.
Setakat ini, terdapat 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi seluruh negara, dengan 150 bilik darjah baharu diperluaskan pada 2025 dan 350 bilik darjah prasekolah baharu dijadualkan dibina pada 2026.
Datuk Seri Anwar berkata usaha itu memerlukan peruntukan besar termasuk cadangan tambahan RM800 juta yang sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan bagi menampung keperluan pengambilan kira-kira 18,000 guru baharu.
“Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan dengan baik, kerajaan perlu menambah serta meluaskan kemudahan pendidikan termasuk di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institusi latihan pendidikan guru.”
“Persiapan besar ini memerlukan peruntukan yang tinggi, termasuk cadangan tambahan RM800 juta yang sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan bagi memenuhi keperluan pengambilan kira-kira 18,000 guru baharu,” jelas Datuk Seri Anwar.
Kapasiti prasekolah kerajaan ketika ini berjumlah 110,889 tempat, melibatkan pelbagai agensi termasuk KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).