SEREMBAN, 7 Mac- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) hari ini melancarkan Sistem e-Rancangan Pengajaran Harian (e-RPH) secara offline dalam usaha ke arah penulisan secara digital sebelum penggunaan sistem online menjelang September 2024 depan.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, sistem berkenaan akan mula diguna pakai pada sesi persekolahan 2024/2025 pada 10 Mac ini.
“RPH merupakan dokumen penting bagi setiap pendidik di mana ia membantu merancang dan mengarahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas sebelum sesi pembelajaran bermula.
“e-RPH offline ini sebagai satu tempoh transisi sebelum pelaksanaan secara online bermula September 2024 ini dalam usaha ke arah pendigitalan supaya pendidik lebih kompeten dalam usaha membantu memastikan proses PdP berjalan lancar dan efisien,” katanya.
Jelas Ahmad Kamal Idris, sistem tersebut dibangunkan sendiri sepenuhnya oleh Pendidik Masyarakat Tabika KEMAS dan akan diperluaskan untuk digunakan di semua TABIKA KEMAS nanti.
Tambah beliau, ianya adalah sebahagian usaha dalam merealisikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi tahun 2024 dan 2025 bagi memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS terus terbela.
“Bagi tahun 2024 juga KEMAS turut menyasarkan sebanyak 4,145 lagi kelas TABIKA Pra Tahfiz KEMAS bakal dibuka melibatkan 62,175 kanak-kanak dengan sasaran 60 peratus kanak-kanak dapat menguasai 20 surah termasuk surah Juz Amma dan surah pilihan,” ujar beliau lagi.
"Pemikiran dan hala tuju kita pada hari ini sebagai anggota KEMAS harus terus komited mendukung konsep berkecuali dan kerajaan hari ini seperti yang telah digariskan oleh Tan Sri Mohd Zuki Ali selaku Ketua Setiausaha Negara," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Ketua Pengarah KEMAS Tahun 2024 di Pusat Kegiatan Masyarakat Kampung Pantai Seremban.