
PUTRAJAYA, 6 Mac – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini memeterai kerjasama strategik yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pendidikan masyarakat di peringkat akar umbi serta memperluas akses pensijilan halal bagi usahawan luar bandar.
- Pentauliahan rasmi Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS pengajar al-Quran bagi program Pra Tahfiz untuk memastikan standard pengajaran yang lebih kukuh.
- Memperkukuh kualiti pendidikan Islam dan meningkatkan kredibiliti Pemaju Masyarakat Bina Insan serta penggerak KEMAS di komuniti.
- Memudah cara permohonan sijil halal untuk usahawan bimbingan KEMAS melalui sokongan teknikal JAKIM, memperluas pasaran produk luar bandar.
- Penyelarasan kesinambungan hafalan al-Quran ke KAFA serta penyediaan latihan, teknikal dan pensijilan selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Kerjasama tersebut dibincangkan dalam satu kunjungan hormat delegasi KEMAS yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Hanafiah Man, kepada Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee di Kompleks Islam Putrajaya, di sini.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak memberi fokus kepada tiga bidang utama, termasuk pentauliahan rasmi kepada Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS yang mengajar al-Quran bagi program Pra Tahfiz KEMAS serta Pemaju Masyarakat Bina Insan di kampung.
Usaha itu bertujuan memastikan kualiti pendidikan Islam yang disampaikan kepada masyarakat berada pada tahap terbaik selain meningkatkan kredibiliti penggerak masyarakat KEMAS agar lebih diyakini komuniti setempat.
Selain itu, kedua-dua agensi turut membincangkan inisiatif memudah cara permohonan sijil halal bagi produk makanan yang dihasilkan oleh usahawan bimbingan KEMAS.
Melalui sokongan teknikal daripada JAKIM, langkah itu dijangka dapat meningkatkan kadar kelulusan permohonan sijil halal sekali gus memperkukuh keyakinan pengguna serta meluaskan pasaran produk luar bandar ke peringkat yang lebih tinggi.
Kerjasama tersebut turut melibatkan penyelarasan strategik bagi memastikan murid Program Pra Tahfiz KEMAS dapat meneruskan kesinambungan hafalan al-Quran ke Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) seliaan JAKIM yang bertujuan memastikan asas hafalan al-Quran yang dibina di peringkat prasekolah dapat diperkukuh serta diteruskan secara konsisten pada peringkat pendidikan seterusnya.
Dalam pada itu, JAKIM menyambut baik cadangan yang dikemukakan serta menyatakan kesediaan untuk menyediakan ruang kolaborasi meliputi aspek teknikal, latihan dan pensijilan.
Sinergi antara kedua-dua agensi itu dilihat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasa pembangunan masyarakat serta memastikan masa depan generasi muda dan komuniti luar bandar terus terbela.