PUTRAJAYA, 5 Februari - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bersetuju menubuhkan task force (pasukan petugas) bersama bagi melaksanakan program kemasyarakatan yang lebih berkesan, khususnya dalam pembangunan anak muda luar bandar.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata usaha rentas agensi itu bukan sahaja untuk memperkasa pembangunan luar bandar tetapi turut memberi fokus kepada pembentukan generasi muda yang berjati diri.
"Kita mahu anak-anak muda luar bandar dibangunkan potensinya dan paling utama mereka akan membentuk masyarakat masa hadapan yang mempunyai jati diri, beradab, dan menjunjung nilai-nilai insani
"Dengan pendekatan rentas agensi ini usaha membangunkan masyarakat khususnya di luar bandar akan lebih berkesan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengamalkan pendekatan cross-functional dengan memanfaatkan kekuatan setiap bahagian di bawah satu payung.
Ini merangkumi pendidikan, ekonomi, keusahawanan, dan reformasi birokrasi.
Agensi di bawah selian KKDW adalah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Kampung Orang Asli (JPPKOA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan KEMAS.