Kemalangan maut pengguna motosikal membimbangkan

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Februari – Sebanyak 4,000 kes kemalangan maut membabitkan golongan muda direkodkan pada tahun 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan utama ialah banyak kematian jalan raya melibatkan golongan muda, khususnya pengguna motosikal.
  • Jumlah kematian yang tinggi menimbulkan keperluan tindakan segera daripada kerajaan.
  • Kementerian Pengangkutan akan mengambil langkah susulan berhubung isu keselamatan jalan raya.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangannya berikutan sebahagian besar kes kemalangan membabitkan pengguna motosikal.

“Perkara yang agak merisaukan, seperti dibangkitkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, ialah jumlah kematian di jalan raya pada tahun 2024 yang melibatkan anak muda, iaitu seramai 4,000 nyawa.

“Angka ini amat membimbangkan kerana kebanyakannya membabitkan kemalangan motosikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Data berkenaan diperoleh hasil laporan mesyuarat jawatankuasa keselamatan jalan raya yang telah dibentangkan kepada sidang jemaah menteri baru-baru ini.

Menurut Datuk Fahmi Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan susulan berhubung perkara tersebut.