
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 bukti komitmen Kerajaan MADANI, memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- RUU mengalihkan kuasa pengurusan dan kawal selia buangan terjadual kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 95C Perlembagaan.
- Pindaan diluluskan selepas rundingan terperinci, penelitian perundangan dan penyelarasan dasar antara kerajaan persekutuan dan negeri.
- Langkah ini dianggap kejayaan dalam usaha memperkasakan hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah agenda MA63.
Menerusinya, kuasa pengurusan dan kawal selia buangan terjadual di darat serta dalam perairan negeri diberikan kepada Sabah dan Sarawak selaras Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menerusi kenyataan memaklumkan, perkara berkenaan telah melalui proses rundingan terperinci, penelitian perundangan serta penyelarasan dasar sebelum diterjemahkan dalam bentuk pindaan undang-undang.
“Agenda pemerkasaan MA63 adalah proses berterusan dan pindaan RUU itu antara kejayaan dalam memperkasa hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah pimpinan Kerajaan MADANI.
“Ia antara 29 tuntutan MA63 yang diteliti melalui pelbagai platform rundingan termasuk MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” menurut kenyataan itu.
Semalam, persidangan Dewan Rakyat meluluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dengan sokongan majoriti.