fb fb fb fb fb

Keluar dari belenggu kemiskinan dengan pendidikan kata Abang Jo

Kerajaan negeri akan terus meningkatkan kemampuan modal insan bagi menyokong pembangunan negeri.

KUCHING, 29 Julai - Anak Sarawak diminta untuk memanfaatkan setiap peluang yang disediakan kerajaan negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam usaha mengejar pendidikan dapat membantu rakyat di negeri ini meningkatkan kualiti kehidupan.

Katanya, kerajaan negeri akan terus meningkatkan kemampuan modal insan bagi menyokong pembangunan negeri.

“Kalau kita mahu keluar dari kemiskinan, jawapannya tidak lain ialah menerusi pendidikan. Apabila anak kita pandai, mereka kemudian akan menyumbang kepada masyarakat.

"Setiap anak Sarawak perlu memanfaatkan kesempatan untuk menceburi kursus kejuruteraan aeroangkasa yang ditawarkan Kerajaan Sarawak di Kolej Universiti i-CATS.

“Semalam saya mengumumkan i-Cats menawarkan program aeroangkasa dengan ia sudah pun menerima kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi, ia merupakan kursus berkaitan dengan teknologi melibatkan cip dan komponen kapal terbang.

“Ini adalah sesuatu yang baru, kita (Kerajaan Sarawak) mahu semua anak Sarawak belajar dalam bidang baru ini untuk membangunkan Sarawak sebagai negeri berteknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Teochew Sim Clan di sini, malam Ahad.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Presiden Persatuan Sim Clan Malaysia, Sim Moh Khian.

Tambahnya lagi, kerajaan Sarawak akan terus memberi penekanan terhadap bidang pendidikan bagi merealisasikan agenda pembangunannya.

GRACE AISYAH KEDAYAN