AYER KEROH, 21 Februari - Taktik peniaga warga asing menggunakan tulisan jawi untuk mengelirukan pelanggan berjaya dikesan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Melaka melakukan operasi mengejut di premis menjual perabot sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Pengarahnya KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, daripada 20 premis diperiksa itu, tujuh daripadanya telah dikenakan tindakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan RM5,000.
Katanya, peniaga asing itu turut menyalahkan anak pelanggan kononnya mencabut tanda harga yang diletakkan bagi melepaskan diri daripada dikompuan.
"Kita tidak mahu pengguna di luar sana tertipu dengan cara pemasaran mereka itu. Menjelang hari raya pasti ramai pengguna mahukan perabut baru, langsir baru, jadi kita tidak mahu mereka tertipu dan keliru," kata Norena, di sini.
Tambahnya, dalam operasi yang berjalan selama sejam itu, kesemua tujuh pemilik premis berusia 40-an tersebut dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.