IPOH, 26 Februari- Sebanyak enam Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Tulen, beroperasi di sekolah-sekolah kebangsaan terpilih di negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua kelas itu akan menampung keseluruhan 286 murid di kawasan mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan di kawasan yang jaraknya jauh daripada kelas KAFA.
Enam sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Selama, Selama; SK Sungai Ramai, Ayer Tawar; SK Dato’ Sagor, Kampung Gajah; Pusat Kebajikan Taman Seri Puteri, Batu Gajah; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Slim, Slim River dan SK Kumpulan Ganda, Teluk Intan.
“Kelas KAFA Tulen melaksanakan kurikulum KAFA JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sama seperti kurikulum yang diguna pakai di SRAR Intergrasi KAFA yang lain.
“Kelas KAFA Tulen ini juga, akan ditambah daripada semasa ke semasa berdasarkan keperluan pendidikan agama di sesuatu kawasan, untuk kerajaan negeri memastikan tiada murid yang tercicir dalam mengikuti kelas KAFA di seluruh negeri Perak,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sehingga kini terdapat 8,715 kelas KAFA sedang beroperasi di 659 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) dan SRAR Sepenuh Masa di Perak.
Beliau berkata sekolah berkenaan ditadbir urus oleh jemaah pengurusan sekolah yang terdiri dalam kalangan masyarakat setempat, selain bertanggungjawab menyediakan prasarana serta kemudahan bagi memastikan keselesaan murid KAFA.
Saarani berkata kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada sistem pendidikan yang disediakan kelas KAFA, iaitu bantuan perkapita dengan kadar RM50 setahun dan bantuan perkapita daripada Majlis Agama Islam Dan Ádat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM24, kepada 89,226 murid.
“Selain itu, tambahan elaun kepada 3,210 guru KAFA sebanyak RM200 sebulan dan menyediakan peruntukan RM5 juta, bagi tujuan baik pulih serta bina baharu institusi pendidikan Islam yang merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Agama Rakyat dan tahfiz,” katanya.