fb fb fb fb fb

Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) perlu dikaji

KELANTAN, 2 Oktober- Cadangan perlaksanaan pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) diserap di dalam kelas pengajian harian memerlukan kajian yang mendalam dan lebih teliti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia mengambil kira pelbagai aspek dan kepentingan seperti kebajikan guru, pelajar dan juga guru KAFA sedia ada.


(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memberikan
sumbangan pada Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK),di sini)

Beliau berkata, pihaknya ada menerima cadangan berkait perkara tersebut namun tiada perbincangan lanjut diadakan kerana ia masih lagi di peringkat penelitian.

“Dia tidak boleh kita laksanakan secara terus bagaimana hendak serap silibus kafa dalam kelas pengajian pagi. Kita kena mengambil kira soal banyak perkara yang paling penting pembelajaran ilmu kepada pelajar-pelajar itu tidak terjejas dengan sebab apa pun pendekatan yang kita gunakan tetapi setakat ini belum ada lagi dibincangkan cadangan itu.” katanya selepas merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK),di sini.

Mengulas lanjut, katanya, apabila keputusan dibuat, pihaknya akan memastikan mekanisma yang digunakan dan jalan penyelesaian tersebut memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.

Media sebelum ini melaporkan, rata-rata ibu bapa meluahkan isu murid-murid penat dan terbeban dengan tugasan di sekolah rendah dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri wajar berbincang mencari mekanisme dan jalan penyelesaian supaya murid sekolah rendah tidak terus dibebankan dengan jadual pembelajaran yang terlampau padat.

Media Baharu