Kelapa sawit berpotensi ganti tanaman tembakau di Bachok

Foto hiasan

BACHOK, 8 Februari –Industri tanaman kelapa sawit dilihat berpotensi menjadi tanaman baharu kepada pekebun kecil di daerah Bachok, bagi menggantikan tanaman tembakau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelapa sawit dikenalpasti sebagai tanaman gantian terbaik kepada tembakau di Bachok, menunjukkan hasil lumayan untuk pekebun kecil.
  • 50 pekebun kecil telah beralih ke sawit seluas lebih 161 hektar dengan pengumpulan buah di Pusat Timbangan di Telong.
  • Projek Diraja Kelantan memperuntuk RM5 juta dan merancang koperasi serta bantuan benih, baja dan infrastruktur untuk sokongan tersusun.

Hingga kini 50 pekebun kecil mula beralih arah kepada tanaman kelapa sawit dengan keluasan lebih 161 hektar di sini, dan kawasan sekitar.

Pengarah Kilang Projek Diraja Kelantan (PDRK) , Norlim Mohd Noor berkata, kelapa sawit adalah tanaman gantian terbaik tembakau dengan bukti hasil buah mampu dikutip sebanyak 200 tan seminggu.

Katanya, dengan pencapaian itu, pihaknya mewujudkan satu tempat pengumpulan sawit di Pusat Timbangan Buah Sawit dan Tanam Baru Sawit di Kilang Projek Diraja di Telong, Bachok.

RM 5 juta diperuntukkan bawah PDRK bagi membantu pekebun kecil menerusi bantuan benih berkualiti, baja dan penyediaan infrastruktur bagi memastikan tanaman komoditi ini dilaksanakan secara tersusun dan sistematik.

“Sebelum ini Bachok terkenal dengan tembakau. Peralihan sawit ini saya lihat di Bachok ni, antara gantian yang terbaik. Ini kerana sudah terbukti hasilnya lumayan untuk pekebun kecil,” kata Norlim kepada media selepas Majlis Perasmian Pusat Timbangan Buah Sawit dan Tanam Baru Sawit di Kilang Projek D’Raja Kelantan, di sini.

Beliau berkata, tanaman tersebut juga mampu menjana lebih pendapatan kerana mampu memberikan pulangan dua minggu sekali.

Pihaknya juga merancang menubuhkan satu koperasi khas kepada pekebun kecil bagi membimbing pekebun mengusahakan tanaman sawit secara lebih profesional disamping mendapat bantuan kewangan lebih mudah.