
KOTA BHARU, 15 Januari – KELANTANfm perlu terus menghasilkan kandungan siaran yang lebih dekat dengan komuniti.
- Kelantan FM mesti hasilkan kandungan yang lebih dekat dan relevan dengan komuniti setempat.
- Tekankan kisah inspirasi berfokus keusahawanan, pembangunan diri dan ekonomi komuniti.
- Strategi hyperlocal diperlukan untuk mengukuhkan jenama dan daya saing stesen.
Langkah itu bagi memastikan stesen radio itu kekal relevan dan terus diminati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, penekanan juga perlu diberikan kepada kandungan berunsur kisah berinspirasi ke arah pembinaan negara bangsa yang hebat.
Fokus utama melibatkan keusahawanan, pembangunan diri dan ekonomi komuniti.
“Ada banyak cerita yang boleh membantu kita untuk menjadi orang yang lebih hebat. Jadi tugas KELANTANfm adalah bagaimana mereka nak buat cerita ini dan kaitkan KELANTANfm dengan cerita-cerita yang menginspirasikan mereka.
“Bila kita nak relevan dan nak ke depan kita kena ada konsep kita panggil hyperlocal yang bagus,” katanya selepas sesi ramah mesra bersama warga kerja KELANTANfm, di sini.
Menurut Datuk Suhaimi, usaha berterusan itu berupaya mengukuhkan jenama KELANTANfm agar terus berdaya saing.
Dalam pada itu, KELANTANfm kekal sebagai stesen radio negeri paling ramai didengari, dengan hampir 50 peratus rakyat Kelantan mengikuti siarannya tahun lalu berdasarkan laporan AC Nielsen.