fb fb fb fb fb

'Kelantanfm Ambil Peduli', santuni artis veteran yang uzur

KP Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman menyerahkan replika cek RM1,000 kepada Azizi sempena Program Kelantanfm Ambil Peduli di Kg Cempaka, Panji

KOTA BHARU, 19 November- Program Kelantanfm Ambil Peduli membuka tirai dengan menziarahi peserta akhir Bintang RTM 1986, Azizi Zakaria di kediamannya, di Kampung Cempaka, Panji, Kota Bharu.

Artis veteran itu terlantar sejak lima tahun lalu akibat kanser prostat tahap empat sekali gus menghalang aktiviti nyanyiannya.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata inisiatif Kelantanfm menerusi program tersebut sangat baik dan ia merupakan antara medium untuk merapatkan hubungan pendengar dan warga stesen radio tersebut.

Malah, kolaborasi antara Kelantanfm dan rakan strategik I-Medikel mengukuhkan lagi jenama kedua-dua pihak.

“Kita membantu orang yang sama-sama membantu kita untuk mengukuhkan jenama kita. Jadi kita jangan lupa kepada orang yang telah berbakti kepada kita juga, sangat penting.

"Jadi dalam kehadapan, jangan sesekali kita lupa orang yang banyak membantu kita, jadi itulah sebab kita ke sini hari ini", katanya kepada pemberita selepas menyerahkan replika cek bernilai RM1,000 kepada Azizi sempena Program Kelantanfm Ambil Peduli di Kampung Cempaka, Panji.

Turut hadir, Pengarah Program Radio Saifuzzaman Yusop, Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Nasrul Hakim Md Noh, Pemangku Pengarah RTM Kelantan, Muhamad Khairunizam Abdul Salam dan Pengarah Pembangunan Perniagaan I-Medikel, Shahril Sulaiman.

Bagi Azizi, lawatan dan sumbangan yang diterima amat bermakna khususnya dalam meringankan beban dari segi kos perubatannya.

“Alhamdulillah terima kasih kepada RTM semua terlibat atas kunjungan lawatan terhadap saya, rasa teruja dengan kedatangan. Untuk perubatan itu, selama saya tidak bekerja, kawan-kawan datang menghulurkan derma, jadi saya kumpul untuk beli ubat", katanya kepada RTM.

ROSLINA BINTI DIN