fb fb fb fb fb

Kelantan kenal pasti 13 bukit sebagai lokasi pemindahan banjir

Foto hiasan (Foto kecil: Nik Raisnan Daud)

GUA MUSANG, 26 November- Sebanyak 13 kawasan bukit telah dikenal pasti sebagai lokasi alternatif pemindahan penduduk sekiranya pusat pemindahan sementara (PPS) di sini tenggelam akibat banjir besar.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud, yang juga Ketua Jajahan Gua Musang berkata langkah itu diambil sebagai persediaan awal berikutan pengalaman banjir besar pada 2014.

"Contoh 13 lokasi itu termasuk Bukit Kampung Batu Papan, Kampung Pulau Setelu, Limau Kasturi dan Aring. Kita mengambil iktibar daripada banjir besar 2014 kerana air datang secara luar jangka. Masa itu, penduduk terkapai-kapai tanpa persiapan dan kita tidak mahu perkara sama berulang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya langkah awal itu termasuk mendidik rakyat mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya air banjir naik secara mengejut.

"Dengan adanya pengalaman lalu, kita memberitahu rakyat langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjaga keselamatan diri jika situasi kritikal berlaku," jelasnya.

Tambahnya lagi, sebanyak 25 bot persendirian telah didaftarkan bersama bot daripada pelbagai agensi bagi memastikan kelancaran operasi pemindahan penduduk.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai diingatkan agar sentiasa berwaspada serta peka kepada arahan pihak berkuasa menjelang musim tengkujuh yang dijangka membawa hujan lebat bermula November ini.

SITI AISHAH MD ISA