Kekuatan diplomasi Malaysia akses penting laluan selamat di Selat Hormuz

Pemandangan udara di Selat Hormuz/Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 11 April – Diplomasi Malaysia dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan akses bebas dan selamat di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendirian tegas kepimpinan negara meningkatkan pengaruh antarabangsa dan mengukuhkan imej Malaysia sebagai suara konsisten menentang penindasan serta penyokong keamanan sejagat.
  • Diplomasi awam memberi kelebihan dalam rundingan dengan Iran untuk memastikan kelancaran laluan kapal di Selat Hormuz.
  • Pengiktirafan antarabangsa dan pendekatan diplomatik membantu mengekalkan keselamatan negara serta berpotensi menurunkan kadar tol jika dikenakan.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pendirian tegas kepimpinan negara dalam isu keamanan global meningkatkan pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan imej negara sebagai suara yang konsisten menentang penindasan dan menyokong keamanan sejagat.

Jelasnya kekuatan diplomasi awam itu memberi kelebihan kepada Malaysia dalam menjalinkan rundingan dengan Iran, khususnya bagi memastikan kelancaran laluan kapal di Selat Hormuz.

“Enam daripada tujuh kapal kita telah berjaya melepasi laluan tersebut. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa isu berkenaan kini membawa kepentingan baharu dan bukan lagi sekadar persoalan sama ada bayaran perlu dikenakan atau tidak. Sebaliknya, persoalan utama ialah sama ada kita mampu melepasi laluan itu dengan selamat.

“Melalui pendekatan diplomasi, saya yakin sekiranya bayaran atau tol dikenakan, kadarnya berkemungkinan berada pada tahap minimum berbanding negara lain,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Tambahnya, pengiktirafan antarabangsa menjadi antara asas penting dalam memastikan keselamatan negara terus terjamin.
 

Pemandangan udara pesisir Iran dan Pulau Qeshm di Selat Hormuz