fb fb fb fb fb

Kekosongan jawatan doktor kontrak selepas perjawatan tetap akan diisi semula

(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (tengah) bergambar pada Majlis Perasmian
Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 untuk OKU/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 20 Jun- Kekosongan jawatan doktor kontrak selepas perjawatan tetap akan diisi semula bagi mengelak wujudnya krisis kekurangan kakitangan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam tidak terjejas ekoran penyerapan lebih kurang 4,000 doktor kontrak ke perjawatan tetap.


(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa/BERNAMA)

“Apabila masuk penempatan daripada houseman (doktor pelatih) kepada pegawai perubatan (MO), tentu ada penggantian selepas itu. Jadi insya-Allah semua itu kita akan pertimbangkan. Jangan bimbang kemaslahatan petugas kita, kita akan ambil prihatin", katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) sentiasa mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dan mengambil kira pandangan mengenai perkhidmatan kesihatan awam.

Ia termasuk pertemuan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa pihak lain untuk mendapatkan hasil terbaik.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 2023 dan pelancaran Program Duta Kenali Ubat Anda untuk OKU Penglihatan, Pendengaran dan Pertuturan di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

Terdahulu, terdapat laporan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kekosongan jawatan di klinik dan hospital kerajaan yang dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan negara.

Media Baharu