SINTOK, 4 Oktober- Kekecohan yang berlaku melibatkan rakyat Palestin di Wisma Transit, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal.
Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa kerajaan akan mencari penyelesaian dengan menggunakan undang-undang sedia ada yang sesuai dengan tujuan kehadiran mereka di negara ini.
"Tak masuk akal kalau kita desak hantar mereka pulang hanya kerana insiden seperti ini. Yang penting, kita cari penyelesaian bagaimana undang-undang sedia ada boleh digunakan dan disesuaikan dengan kehadiran mereka di sini.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kerana akta yang berkaitan, termasuk berkaitan pas lawatan yang sesuai, adalah di bawah kawal selia kita, dan ia merujuk kepada tujuan mereka berada di sini," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa keputusan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera terutama kanak-kanak ke Malaysia adalah berdasarkan komitmen kemanusiaan.
Jelasnya, kekecohan tersebut tercetus apabila sebahagian daripada mereka tidak berpuas hati kerana ditempatkan di pusat perlindungan serta pergerakan mereka dikawal.
Saifuddin ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Townhall di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.
BERITA BERKAITAN