fb fb fb fb fb

Kekayaan biodiversiti perlu dimanfaatkan, perkasa sektor bioteknologi - PM

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi
Negara (BDN) 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini) 

KUALA LUMPUR, 12 September - Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu daripada 17 buah negara 'megadiversity' berikutan terdapat sekurang- kurangnya 5,000 tumbuh-tumbuhan 'indigenous' serta memiliki ekosistem marinnya sendiri.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kekayaan biodiversiti negara ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi melonjakkan ekonomi negara melalui pemerkasaan sektor bioteknologi.

Jelasnya, bagi menyokong komitmen ini, kerajaan telah memberi aspirasi baharu menerusi penggubalan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 atau DBN 2.0 untuk tempoh sehingga 2030.

DBN 2.0 akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang utama, iaitu Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan, Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

Ia juga bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi.

"Lima sasaran utama DBN 2.0 adalah pertama: 30 peratus syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70 peratus syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif, kedua: sokongan kepada syarikat-syarikat Bionexus yang berpotensi untuk menjadi syarikat berstatus unicorn, kerajaan dalam konteks ini mensasarkan tiga syarikat bioinovasi berstatus unicorn menjelang 2030; ketiga: pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia; keempat: 5 peratus KDNK negara oleh syarikat-syarikat bioteknologi; dan kelima: 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah," kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara (BDN) 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Dasar Bioteknologi Negara
(BDN) 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini) 

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA) yang dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation.

Program itu amat signifikan memandangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempunyai ekosistem yang kondusif bagi menyokong pembangunan industri bioteknologi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Selaras dengan DBN 2.0, inisiatif ini akan diperluaskan kepada dua lagi sektor iaitu bioteknologi kesihatan dan bioteknologi industri.

Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi penganjuran BioMalaysia pada tahun depan.

BioMalaysia merupakan persidangan yang menghimpunkan pemain-pemain industri bioteknologi di Asia Pasifik.

"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa menyokong penuh Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan yakin ia akan memberi impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan," tambah beliau.

Dalam ucapan sama, Ismail Sabri turut mengumumkan penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia.

Gabungan itu melibatkan semua institut penyelidikan berasaskan bioteknologi bagi mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara.

Satu badan penasihat pakar bioteknologi juga akan diwujudkan bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti termaktub dalam DBN 2.0.

Media Baharu