PADANG BESAR, 12 November- Negeri Perlis menjadi antara tiga negeri yang memiliki 'bandar paling bahagia' di Malaysia berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia tahun 2021 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia) sesuai dengan kelebihannya dalam sektor pelancongan.
Justeru, program kekeluargaan perlu diperbanyakkan bagi memastikan kebahagiaan berterusan dalam kalangan rakyat negeri Perlis.
Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri, Naemah Ibrahim berkata, sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan yang diadakan pada bulan November setiap tahun merupakan platform penting bagi menghargai kepentingan institusi keluarga sebagai cerminan kepada masyarakat yang sejahtera bagi membina generasi berperibadi mulia.
"Asas ini menjadi tulang belakang sebuah negara yang progresif dengan meraikan perpaduan dalam kepelbagaian dimana sambutan kali ini bertemakan "Keluarga Harmoni, Negara MADANI", katanya pada sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 (BKK 2023) Peringkat Negeri Perlis di Tasoh Lake Resort yang dirasmikan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Pelbagai aktiviti kekeluargaan diadakan bagi mewarnai sambutan dan mencipta memori indah bersama keluarga tercinta seperti Funrobik Kasih Keluarga, Kasih Family Fun Walk, gerai Jualan Rahmah, Piknik Keluarga "Mai Menyorok di Tasoh" serta beberapa aktiviti Karnival Kasih Keluarga yang bertujuan menyemarakkan lagi rasa kasih dan sayang.