fb fb fb fb fb

Kekalkan khazanah hutan negara, penggunaan teknologi dan inovasi perlu diperkukuh

Pengggunaan teknologi dan inovasi terkini harus diperkukuh dalam mengekalkan kelestarian khazanah hutan negara / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 21 Mac - Pengggunaan teknologi dan inovasi terkini harus diperkukuh dalam mengekalkan kelestarian khazanah hutan negara.

Untuk itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru setiap rakyat bersama-sama berusaha mengekalkan kehijauan kawasan hutan yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti demi generasi kini dan akan datang.

"Kerajaan terus komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan, selaras komitmen negara pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992," katanya dalam perutusan sempena Hari Hutan Antarabangsa hari ini.

Tambah Nik Nazmi, inovasi dalam sektor perhutanan merupakan elemen penting dalam mendepani cabaran alam sekitar global untuk memelihara hutan melalui gabungan sains dan teknologi serta penglibatan masyarakat.

Justeru Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha dan inovasi bagi memastikan sektor perhutanan negara berkembang dan sentiasa relevan mengikut peredaran masa.

Nik Nazmi berkata inovasi dan penggunaan teknologi seperti satelit, dron dan Sistem Maklumat Geografi dapat meningkatkan keberkesanan aktiviti pemantauan sumber hutan negara.

Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya demi kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN