fb fb fb fb fb

Kejujuran Norhafiza lebih bernilai daripada wang yang dipulangkan- MB Kedah

ALOR SETAR, 9 Jun- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengucapkan tahniah kepada pekerja perkhidmatan kereta kabel SkyCab Langkawi, Norhafiza Ahmad yang memulangkan semula wang berjumlah RM34,000 milik seorang pelancong yang tercicir.

Jelas beliau, pihaknya berbangga dengan Norhafiza dan menyifatkan kejujurannya lebih bernilai daripada wang yang dipulangkan itu.

"Mewakili kerajaan Negeri Kedah, kami berbangga dengan anda.

Saya percaya, ramai lagi kakitangan lain yang seperti anda," katanya menerusi hantaran di Facebook.

(Menteri Besar menyampaikan penghargaan dan sagu hati kepada Norhafiza menerusi Setiausaha Politik beliau)

Sebagai tanda penghargaan, Datuk Seri Sanusi turut memberi sagu hati kepada Norhafiza.

Selain Menteri Besar, Norhafiza turut menerima surat penghargaaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.

Pada 31 Mei lalu, Norhafiza secara tidak sengaja menemui beg mengandungi pelbagai mata wang.

Beg berkenaan ditinggalkan oleh seorang pelancong dari Sudan di kerusi menunggu berhampiran kaunter tiket di pusat pelancongan berkenaan.

Media Baharu