fb fb fb fb fb

Johor bakal nikmati jaringan infrastruktur yang lebih baik

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di kementeriannya hari ini/Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Penduduk Johor bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih lancar hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan jaringan infrastruktur yang lebih baik, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata perbincangan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini menumpukan kepada aspek infrastruktur di bawah kawal selia kementeriannya, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang telah dimulakan secara rasmi baru-baru ini, keperluan sistem infrastruktur yang terbaik adalah perlu bagi menyokong usaha mewujudkan kawasan ekonomi yang menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur antara kedua-dua negara. " katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Tambah Nanta, selain menangani isu trafik, pembangunan infrastruktur ini juga dilihat sebagai persiapan untuk melaksanakan Tahun Melawat Johor 2026, sekali gus merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM3.39 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek penyenggaraan dan pembinaan di Johor.

"Semoga kerjasama erat di antara kementerian dan Kerajaan Negeri akan terus terjalin yang dapat membawa manfaat kepada rakyat," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN