fb fb fb fb fb

Kejayaan pulihkan ekonomi negara hasil kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan Negeri - PM

(Ismail Sabri melancarkan JAKM Negeri Johor di Dataran Angsana hari ini)

JOHOR BAHRU, 5 Mac - Kejayaan pemulihan ekonomi negara, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial yang sedang dikecapi ketika ini, adalah hasil kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri yang sentiasa berganding bahu menyalurkan keperluan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama erat itu adalah bagi memastikan tiada golongan yang tertinggal.

Seterusnya, menangani jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

"Pandemik COVID-19 telah membawa impak yang besar ke atas kehidupan seharian Keluarga Malaysia dan kerajaan tidak pernah alpa dalam menyediakan bantuan daripada segi kewangan, sosial mahupun peluang pekerjaan.

"Kerajaan telah melancarkan program Baucar Perlindungan Tenang bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli atau memperbaharui pelan perlindungan daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen. Kementerian Kewangan menyasarkan seramai 500,000 penerima akan mendapat manfaat ini," katanya.

Beliau berucap melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Johor di Dataran Angsana, Johor Bahru.

(Sebahagian ruang pameran JAKM di Dataran Angsana, Johor Bahru)

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, penganjuran JAKM yang menjadikan Johor lokasi pertama berjaya merekodkan padanan perniagaan sebanyak RM5.26 juta, melepasi sasaran RM3 juta.

"Jumlah ini melepasi sasaran yang diunjurkan. Tahniah buat Keluarga Malaysia di Johor. Semoga Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini akan memberi nilai tambah baharu yang akan mendasari setiap usaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan ke arah yang lebih baik," katanya.

Mengenai pembukaan sempadan negara, Perdana Menteri memberi bayangan, pintu sempadan akan dibuka dalam masa terdekat.

Ia bagi merancakkkan sektor ekonomi dan pelancongan selain memudahkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk kembali ke tanah air.

"Selain Singapura dan Indonesia, kerajaan dalam proses melaksanakan VTL darat dengan Brunei dan Thailand dan dengan pembukaan semula sempadan, ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tak bersua muka dapat pulang terutama semasa Hari Raya pada Mei nanti," katanya.

Media Baharu