fb fb fb fb fb

Kehilangan Zuzina Abine masih jadi tanda tanya

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) bersama Timah Ason (kanan) iaitu kakak kepada Zuzina Abine (kotak kecil) dan Penghulu Kampung Bring Lama Anjang Ranget (tengah)

GUA MUSANG, 6 Oktober- Kehilangan misteri seorang wanita orang asli suku kaum Temiar, Zuzina Abine, 33, yang menghidap penyakit sawan, menimbulkan kebimbangan dan tanda tanya dalam kalangan penduduk Kampung Bring Lama dekat Pos Pasik di sini.

Zuzina dilaporkan hilang tanpa jejak sejak dua minggu lalu selepas keluar dari rumahnya pada 20 September lalu.

Penghulu, Anjang Ranget menyatakan walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilaksanakan oleh agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan anjing pengesan (K9), belum ada sebarang petunjuk mengenai keberadaan Zuzina.

"Lebih 30 penduduk kampung masih meneruskan usaha mencari Zuzina. Kita mencari sehingga ke sempadan kampung. Namun, tidak ada sebarang petunjuk seperti kesan selipar atau pakaian yang dijumpai. Saya akan teruskan pencarian ini sehingga kami menjumpainya," kata Anjang.

Kakak mangsa, Timah Ason meluahkan harapan agar adiknya ditemukan dalam apa jua keadaan. "Harap ada bantuan untuk mencari. Kami akan terus berusaha," ujarnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bersama rombongannya melakukan kunjungan ke kampung berkenaan untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa serta menyampaikan bantuan.

"Kedatangan kami juga bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada Timah dan penduduk yang bergotong royong mencari Zuzina. Kami berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pusat Khidmat yang telah membantu.

"Sebelum ini, usaha pencarian melibatkan PDRM, JBPM dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (RELA) dan kini ia diteruskan oleh pihak kampung, RELA Orang Asli, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pelindung dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.

Zuzina dilaporkan hilang sejak pukul 7.00 pagi pada 20 September lalu setelah ahli keluarganya membuat laporan kepada pihak polis pada 22 September.

Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Sik Choon Foo, mengesahkan menerima laporan mengenai kes kehilangan itu.

Menurutnya, Zuzina berketinggian 152 sentimeter, berat 43 kilogram, tidak berkaca mata, berambut pendek dan kerinting, berkulit hitam manis, memiliki bentuk mata bulat, bibir tebal, serta terdapat kesan parut di betis kanan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau membuat laporan di mana-mana balai terdekat.

SITI AISHAH MD ISA