
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Seramai 109 penerima daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan Pek Rencah Raya dan Biskut Raya dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Yayasan Ikram Malaysia dengan kerjasama Kedutaan China di Malaysia.
- Program mencerminkan kerjasama berterusan antara Kedutaan China dan Yayasan Ikram, kini memasuki tahun keenam penajaan kempen Rayuan Ramadan.
- Dana kempen digunakan bukan sahaja untuk bantuan perayaan, malah pelbagai inisiatif kebajikan seperti bantuan banjir, kesiapsiagaan bencana dan program komuniti bandar.
- Yayasan Ikram mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan korporat bagi memastikan lebih ramai golongan kurang berkemampuan disantuni menjelang Aidilfitri.
Majlis tersebut diadakan bersempena Program Rencah Raya dan Biskut Raya bawah Kempen Rayuan Ramadan 1447H/2026 yang bertujuan membantu golongan memerlukan membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
Menurut Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Badlishah Sham Baharin, program berkenaan turut mencerminkan hubungan kerjasama yang berterusan antara kedua-dua pihak apabila tahun ini merupakan tahun keenam pihak kedutaan itu menaja kempen Rayuan Ramadan bersama yayasan berkenaan.
“Sepanjang tempoh itu, sumbangan para penyumbang berjaya memberi manfaat kepada ribuan penerima daripada golongan asnaf, fakir miskin, mangsa bencana, banduan, keluarga B40 serta komuniti rentan di seluruh negara,” katanya dalam Majlis Serahan Program Rencah Raya & Biskut Raya di sini hari ini.
Penerima sumbangan terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta keluarga asnaf yang tinggal di kawasan di bawah MPP Parlimen Setiawangsa Sub Zon 6, melibatkan penduduk dari Ayer Panas, Desa Rejang, Sungai Bonus dan Seri Semarak.
Dana yang disalurkan melalui kempen Rayuan Ramadan itu bukan sahaja tertumpu kepada bantuan musim perayaan, malah turut digunakan bagi pelbagai inisiatif kebajikan lain termasuk bantuan kepada mangsa banjir, latihan kesiapsiagaan bencana, pemberian cermin mata percuma serta program pembangunan komuniti miskin bandar.
Antara projek yang sedang dilaksanakan di bawah kempen berkenaan termasuk Tajaan Kurma dan Iftar Penjara, Tajaan Pek Ramadan, Tajaan Iftar dan Sahur, Tajaan Baju Raya serta Tajaan Biskut Raya dan Rencah Raya.
Dalam pada itu, Yayasan Ikram Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada orang ramai dan sektor korporat bagi memastikan lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat disantuni serta merasai kemeriahan Aidilfitri pada tahun ini.
Sebagai rekod, pelaksanaan Program Rayuan Ramadan oleh Yayasan Ikram Malaysia kini memasuki tahun ke-27 penganjurannya dan telah memberi manfaat kepada ribuan penerima di seluruh negara.