fb fb fb fb fb

Kedudukan kewangan Pulau Pinang adalah stabil - Kon Yeow

Foto FB Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 30 Mei- Kedudukan kewangan negeri Pulau Pinang berada dalam keadaan stabil.

Setakat 30 April tahun ini, kerajaan Pulau Pinang mencatatkan hasil sebanyak RM258.72 juta, berbanding RM235.19 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata terdapat lebihan pendapatan atau 'surplus' berjumlah RM23.53 juta.

"Namun begitu, berdasarkan belanjawan negeri yang telah dibentangkan tahun lalu, kerajaan negeri menjangkakan defisit sebanyak RM514.52 juta.

"Ia berikutan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan perbelanjaan ke arah kesejahteraan rakyat.

"Penguatkuasaan strategi pengurangan unjuran defisit bajet negeri tahun 2024 melalui langkah-langkah kawalan dalaman dan penjimatan dalam perbelanjaan, tanpa menjejaskan projek berimpak kepada rakyat," Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (KEADILAN-Bukit Tambun) berhubung kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM