MARANG, 21 November- Seorang posmen melecur pada bahagian muka dan tangan selepas kediamannya terbakar petang tadi.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan ketika mengesahkan kejadian itu berkata kebakaran berlaku di Taman Emas Murni 2, Marang.
"Siasatan awal mendapati punca kebakaran adalah akibat litar pintas pada suis pendingin hawa.
"Difahamkan, sebelum kebakaran, berlaku letupan kecil di ruang tamu dan bilik yang menjadi kawasan utama kebakaran," katanya ketika dihubungi RTM.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kebakaran bangunan sementara menunggu kenyataan mangsa bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur mencurigakan.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.