LABUAN, 20 Februari- Seorang datuk dan dua orang cucunya maut dalam kebakaran di Lazenda Villa Dua, Kerupang tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Hamizi Halim berkata mangsa ialah seorang warga emas 65 tahun, bersama dua cucunya yang merupakan adik beradik berumur lapan dan 11 tahun maut dalam kejadian itu.
Manakala dua lagi kanak-kanak berusia 13 dan 12 tahun yang pengsan di tingkat bawah, mendapat bantuan pertolongan cemas (CPR) bomba Labuan sebelum diberi rawatan lanjut.
Sementara itu empat ahli keluarga lain terdiri daripada pak cik dan mak cik mangsa masing-masing berusia 35 dan 32 tahun, serta seorang wanita warga emas dan bayi berusia setahun selamat pada kejadian itu.
Ketika kejadian kesemuanya berjaya meloloskan diri ke bahagian bumbung rumah berhampiran, hasil bantuan orang awam.
Rumah dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20x20 kaki persegi musnah dalam kebakaran tersebut.
Bagaimanapun Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan berjaya mengawal kebakaran itu sekitar pukul 2.22 pagi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan.