fb fb fb fb fb

KeDESA: Rapatkan jurang pelajar, institusi pendidikan - TPM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Kerajaan dengan kerjasama Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia (GPBM) dalam misi mengenal pasti dan menyokong 10,000 anak Bumiputera dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang menerusi program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa Madani (KeDESA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu direka untuk memudahkan anak Bumiputera meneruskan pendidikan mereka dan memahami kepentingan pendidikan.

"KeDESA bertujuan merapatkan jurang antara pelajar dan institusi pendidikan, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan membangunkan kemahiran yang berharga.

"Pasukan KeDESA akan menjelajah ke 40 kawasan luar bandar dan terpencil di seluruh negara," katanya menerusi kenyataan di sini.

Selaku Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa terdapat usaha berterusan untuk meletakkan pendidikan TVET sebagai “game changer” dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran.

Selain itu, beliau menyatakan kejayaan usaha itu, terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 94.5% pada 2023.

Ahmad Zahid kemudiannya menggesa agar tidak ada anak Malaysia yang ketinggalan dalam pelbagai sektor kerjaya, terutama mereka yang mempunyai kecenderungan kuat terhadap pengajian teknikal berbanding akademik.

Sebelum ini, media melaporkan 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak menghadiri peperiksaan itu.

Justeru, program berkenaan merupakan satu intervensi penting untuk menangani isu ini dan memastikan lebih ramai kanak-kanak meneruskan pendidikan mereka.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM