fb fb fb fb fb

Kedaulatan sistem kehakiman tetap jadi keutamaan - Anwar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Kedaulatan sistem kehakiman tetap menjadi keutamaan dalam menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan kehakiman adalah tertakluk di bawah doktrin pengasingan kuasa, iaitu prinsip yang termaktub dalam struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun kedaulatan undang-undang mesti diutamakan, kebebasan badan kehakiman juga perlu kekal dijaga dalam menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Sejarah telah menyaksikan bagaimana prinsip suci itu dicabuli oleh kuasa yang bekerjasama dengan pejabat kehakiman tertinggi untuk memesongkan keadilan bagi tujuan politik yang keji. Namun, saya tegaskan bahawa era itu telah berlalu, dan kita tidak akan membenarkan pencabulan undang-undang seperti itu berulang," katanya ketika merasmikan Persidangan LawAsia Ke-37 di sini.

Beliau menambah, dalam era evolusi teknologi masa kini, profesion guaman memainkan peranan penting dalam mereka bentuk rangka kerja yang menggalakkan inovasi, sambil mencapai keseimbangan yang tepat antara hak individu dan kepentingan awam.

"Saya percaya undang-undang mestilah fleksibel namun teguh, mampu melindungi hak individu sambil mengalakkan kreativiti dan inovasi. Seterusnya mencapai keseimbangan yang betul antara hak individu dan kepentingan awam," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa sebarang isu berbangkit berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 hanya akan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata demikian merujuk dakwaan bahawa RUU tersebut akan mengurangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM