Kedah sasar eksport 1,500 tan metrik durian segar ke China melalui laluan darat

Malaysia kini berjaya mendapat kelulusan mengeksport durian segar ke China, dengan nilai eksport durian dijangka melebihi RM1 bilion setahun.


ALOR SETAR, 13 Januari –
Kedah menyasarkan penghantaran sehingga 1,500 tan metrik durian segar ke China menerusi pengangkutan darat pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedah jadi negeri pertama guna laluan darat sebagai hab eksport durian segar ke China.
  • Penghantaran dikawal oleh Jabatan Pertanian melalui pusat fasiliti eksport di Serdang.
  • Lori kontena lalu sempadan Bukit Kayu Hitam, perjalanan empat hingga lima hari.
  • Durian dipotong di pokok untuk kekal segar, mampu tahan hingga 10 hari sampai China.

Ini sekali gus menjadikan Kedah negeri pertama berperanan sebagai hab eksport durian segar menggunakan laluan logistik darat ke negara itu.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman, berkata penghantaran berkenaan dilaksanakan dan dipantau rapi oleh jabatan menerusi sebuah pusat fasiliti eksport milik yang terletak di Serdang.

Menurut beliau, durian segar berkenaan dihantar menggunakan lori kontena melalui sempadan Malaysia–Thailand di Bukit Kayu Hitam sebelum merentasi beberapa negara Asia untuk terus ke China, dengan tempoh perjalanan dianggarkan antara empat hingga lima hari.

“Setiap kontena mampu membawa kira-kira 20 tan metrik durian dan pada masa hadapan, penghantaran disasarkan mencecah sehingga 1,500 tan metrik bagi satu penghantaran,” katanya kepada RTM selepas Majlis Pelancaran Eksport Durian Segar Pertama Malaysia ke China melalui Logistik Pengangkutan Darat 2026, di sini pada Isnin.

Rozaidi berkata kaedah pengangkutan darat lebih fleksibel serta berupaya mengurangkan kos berbanding eksport durian sejuk beku melalui penerbangan udara yang hanya mampu membawa sekitar 60 tan metrik bagi satu penerbangan.

“Ini membolehkan kita mengeksport dalam kuantiti yang lebih besar, bukan sahaja untuk pasaran premium, malah pasaran sederhana dan pengguna kos rendah di China,” katanya.

Sebanyak satu tan metrik durian varieti Duri Hitam dihantar ke China menerusi laluan darat pada Isnin

Menurut beliau, durian segar yang dieksport akan melalui proses pemilihan, pengasingan dan pembungkusan, selain mematuhi standard kualiti serta keselamatan makanan yang ditetapkan bagi memenuhi keperluan eksport antarabangsa.

Sementara itu, Exco Pertanian Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata durian yang dihantar merupakan durian segar yang dipetik menggunakan kaedah potong di pokok, bukannya buah luruh.

Ini bagi memastikan kualiti serta kesegaran buah durian terpelihara.

“Durian ini dijangka mampu bertahan sehingga 10 hari dan apabila tiba di China, ia masih segar, lembut serta enak seperti yang dikehendaki pelanggan di sana,” katanya.

Pada peringkat permulaan, sebanyak satu tan metrik durian varieti Duri Hitam dihantar ke China semalam menerusi laluan darat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu tahun lalu berkata, Malaysia kini berjaya mendapat kelulusan mengeksport durian segar ke China, dengan nilai eksport durian dijangka melebihi RM1 bilion setahun.